JANJI ALLAH BAGI YANG MEMILIKI SIFAT
TAQWA
Janji Allah kepada yang memiliki sifat taqwa
Hasil mujahadah yang tinggi, serius serta istiqamah, Allah
akan kurniakan kepada kita sifat taqwa. Bermacam-macam kebaikan yang Allah
janjikan dalam Al Quran kepada mereka yang memiliki sifat taqwa ini. Ini adalah
janji Allah yang pasti tepat dan pasti ditunaikan-Nya. Ia tidak terhingga
nilainya yang tidak dapat diukur dengan mana-mana mata wang di dunia ini.
Di antara janji-janji Allah kepada mereka yang memiliki
sifat taqwa ini ialah:
1. Terpimpin
Mereka mendapat pimpinan daripada Allah. Ini jelas sekali
melalui firman Allah: “Allah menjadi (Pemimpin) Pembela bagi orang-orang
yang bertaqwa.” (Al Jasiyah: 19)
2. Terlepas dari kesusahan
Mereka dapat terlepas daripada kesusahan. Bukan ertinya
mereka tidak mendapat susah atau tidak ditimpa ujian tetapi selepas kesusahan
dan ujian, mereka akan terselamat. Walaupun ada pelbagai rintangan dalam ujian
itu, ia sementara waktu sahaja. Selepas itu Allah akan lepaskan dari ujian dan
rintangan itu dengan menghadiahkan pelbagai macam nikmat pula. Ini jelas dalam firman
Allah: “Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah, Allah akan lepaskan dia
dari masalah hidup.” (At Thalaq: 2)
3. Rezeki
Di dunia lagi akan diberi rezeki yang tidak tahu dari mana
sumber datangnya. Diberi rezeki yang tidak terduga dan dirancang. Ini jelas
dalam sambungan ayat tadi: “Dan akan diberi rezeki sekira-kira tidak
diketahui dari mana sumbernya.” (At Thalaq: 3)
Inilah jaminan daripada Allah SWT bagi mereka yang bertaqwa.
Sesiapa yang bertaqwa, rezekinya ada sekadar yang perlu. Makan minumnya yang
perlu tetap ada walaupun dia tidak berusaha. Walaupun dia tidak ada kerja,
tetap ada jaminan daripada Allah. Ini diakui sendiri oleh Imam Ghazali, mungkin
ianya dari pengalaman beliau sendiri. Imam Ghazali pernah berkata: “Kalau
sekalipun orang bertaqwa itu tidak ada kerja, keperluan-keperluannya tetap
diperolehinya.”
Waktu makan akan diberi makanan. Jika patut dapat pakaian,
akan diberi pakaian. Dia sendiri tidak tahu dari mana sumbernya kerana ianya
bukan daripada usaha dan cariannya sendiri. Dia dapat rezeki bukan melalui
sumber usahanya tetapi melalui sumber usaha orang lain. Kalau taqwanya secara
jemaah, maka rezeki itu diberi secara berjemaah. Sekiranya taqwanya secara
individu, maka secara individu jugalah pemberian Allah itu.
4. Kerja dipermudah
Kerja-kerja orang yang bertaqwa itu dipermudahkan Allah. Ini
jelas Allah gambarkan di dalam sepotong ayat: “Barangsiapa yang bertaqwa
kepada Allah, dipermudahkan Allah segala urusannya.” (At Thalaq: 4)
Allah memberi jaminan, kerja orang yang bertaqwa itu
dipermudahkan. Mungkin juga di samping mudah, hasilnya banyak. Buat sedikit,
hasilnya banyak. Jadi kalaulah kita buat kerja berhempas-pulas, di samping
hempas-pulas banyak pula rintangan, kemudian hasilnya pula sedikit atau
langsung tidak ada, itu menunjukkan kita belum mempunyai sifat taqwa hinggakan
Allah tidak membantu.
5. Diberi berkat
Dia diberi berkat daripada langit dan bumi. Berkat pada
hartanya, pada kesihatan badannya, pada ilmunya, pada anak-anak dan zuriatnya,
pada isterinya, pada suaminya, pada sahabat handai dan jiran, pada gurunya,
berkat dakwahnya, berkat ajarannya, berkat pimpinannya dan sebagainya. Ini
jelas sekali dalam ayat: “Jikalau penduduk sebuah kampung (atau sebuah
negara) itu beriman dan bertaqwa, Tuhan akan bukakan berkat daripada langit dan
bumi.” (Al A’raf: 96)
Berkat maknanya bertambah atau subur. Apabila dikatakan
hidupnya berkat, maknanya hidupnya penuh dengan kemuliaan, ketenangan,
kebahagiaan dan penuh dengan pahala. Hartanya berkat, harta yang tidak
putus-putus dapat disalurkan kepada kebaikan dan berpahala walaupun dia bukan
orang kaya. Ilmunya berkat, maknanya ilmu yang dimilikinya itu dapat diamalkan,
bertambah dan dapat dimanfaatkan kepada kebaikan serta menambahkan pahala.
Badannya yang sihat yang dikatakan berkat itu adalah badan
yang dapat digunakan untuk kebaikan. Dengan kesihatan badannya itu,
digunakannya untuk jihad fisabilillah, untuk khidmat kepada masyarakat dan dapat
menambahkan pahalanya. Masanya berkat ialah masa yang Allah untukkan padanya,
dapat digunakan kepada kebaikan. Dia tidak buang masa percuma dengan perkara
yang melalaikan. Umurnya berkat, mungkin umurnya bertambah. Kalaupun umurnya
tidak bertambah, tetapi umur yang diberikan kepadanya itu akan menambahkan
pahala. Rezekinya berkat yakni rezeki yang tidak putus-putus sekalipun tidak
kaya, yang dapat digunakan untuk kebaikan dan dapat menambahkan pahala.
Berkat pada anak-anaknya atau zuriat ertinya, anak-anak dan
cucu cicit berjaya menjadi anak-anak yang soleh, yang menjadi penyejuk mata
hati. Berkat pada isterinya atau suaminya, iaitu isteri tersebut atau suami itu
soleh dan solehah, yang dapat mengingat dan memimpinnya selamat di dunia dan di
Akhirat. Berkat pada sahabat handai dan jiran, ertinya mendapat sahabat yang
baik-baik dan ramai pula yang membantu perjuangannya untuk menegakkan
kebenaran. Berkat pada gurunya, iaitu dia mendapat guru yang soleh yang dapat
memimpin dan memandunya selamat di dunia dan Akhirat.
6. Amalan diterima
Amal ibadah orang yang bertaqwa diterima oleh Allah. Kalau
begitu amal ibadah orang Islam tidak diterima. Orang Islam akan masuk Neraka
dulu. Oleh yang demikian, hanya amal ibadah orang yang bertaqwa sahaja yang
diterima oleh Allah.
Ini dijelaskan oleh Allah: “Sesungguhnya amal ibadah
yang diterima Allah ialah dari orang yang bertaqwa.” (Al Maidah: 27)
Maksudnya, Allah hanya menerima sembahyang orang yang bertaqwa. Allah tidak
akan terima sembahyang orang yang sekadar Islam. Allah akan terima puasa orang
bertaqwa. Allah akan terima perjuangan orang yang bertaqwa. Allah tidak akan
terima perjuangan orang Islam. Allah akan terima haji orang yang bertaqwa.
Allah tidak akan terima haji orang Islam. Begitulah seterusnya berdasarkan ayat
di atas tadi.
7. Amalannya diperbaiki
Amalan orang yang bertaqwa itu sentiasa dibaiki oleh Allah.
Sentiasa diperkemaskan oleh Allah daripada masa ke semasa. Ini jelas Allah
mengingatkan kepada kita: “Wahai mereka yang beriman hendaklah kamu
takut kepada Allah. Hendaklah kamu memperkatakan kata-kata yang teguh; nescaya
Allah akan membaiki amalanamalan kamu…” (Al Ahzab: 70-71)
Jadi orang-orang yang bertaqwa amalannya sentiasa dibaiki
oleh Allah. Sembahyangnya sentiasa dibaiki Allah. Begitu juga puasanya, bacaan
Qurannya, wiridnya dan perjuangannya sentiasa dibaiki. Apa sahaja bentuk
kebaikan yang dibuatnya sentiasa dibaiki oleh Allah dari masa ke semasa. Itulah
jaminan Allah.
8. Dosa diampunkan
Dosanya diampunkan. Dalam ayat tadi juga ada
sambungannya: “Wahai mereka yang beriman, hendaklah kamu takut kepada
Allah. Hendaklah kamu memperkatakan kata-kata yang teguh; nescaya Allah akan
membaiki amalan-amalan kamu dan akan mengampun bagimu dosa-dosa kamu.” (Al
Ahzab: 70-71)
Ertinya dosa-dosa orang-orang yang bertaqwa ini akan
diampunkan. Namun begitu orang Islam dosanya tidak diampunkan oleh Allah. Sebab
itu orang Islam akan masuk Neraka dulu.
9. Dapat ilmu tanpa belajar
Diberi ilmu tanpa belajar. Yakni diberi ilmu terus jatuh
pada hati. Memanglah ilmu yang jatuh kepada hati, tidak perlu proses belajar.
Kalau ilmu yang jatuh pada akal, ia perlu melalui proses belajar yakni membaca,
mentelaah, kena berguru, kena bermuzakarah, kena berfikir dan merenung. Barulah
akan dapat ilmu itu. Sedangkan ilmu yang jatuh pada hati, tidak diketahui
sumbernya, tidak perlu berfikir, mentelaah dan tanpa berguru. Ia terus terjatuh
sahaja ke hati. Hati itu sebagai wadahnya. Jadi orang yang bertaqwa ini diberi
ilmu tanpa belajar. Ini jelas Allah nyatakan dalam ayat Al Quran: “Bertaqwalah
kepada Allah nescaya Allah akan mengajar kamu.” (Al Baqarah: 282)
Dapat ilmu daripada Allah tanpa perantaraan guru, tanpa
perantaraan belajar. Hal ini diperkuatkan oleh sabda Rasulullah SAW: “…Yang dia
tahu, nanti dia akan dipusakakan ilmu yang dia tidak tahu.” (Dikeluarkan oleh
Abu Nuaim) Apa sahaja ilmu yang dia tahu, diamalkan. Hasilnya nanti Allah akan
beri ilmu tanpa dia belajar. Ramai orang-orang soleh dan ulama yang soleh
diberi ilmu laduni. Itulah ilmu yang jatuh kepada hati yang juga dipanggil
ilham. Firman Allah Taala: “Dan Kami ajarkan dia ilmu yang datang dari
dari sisi Kami.” (Al Kahfi: 65)
Ertinya orang yang bertaqwa itu akan diberi ilmu terus dari
Allah tanpa wasilah guru. Agar tidak terkeliru, perlulah diingat bahawa orang
yang hendak dapat ilmu laduni itu, dia mesti ada ilmu asas iaitu ilmu fardhu
ain terlebih dahulu.
10. Terlepas dari tipu daya syaitan
Orang bertaqwa itu akan terlepas dari tipu daya syaitan.
Dalam Al Quran ada disebutkan tentang hal ini. Firman Allah: “Sesungguhnya
orang yang bertaqwa apabila mereka ditimpa was-was dari syaitan, mereka ingat
kepada Allah, maka ketika itu juga mereka melihat kesalahan-kesalahan mereka.” (Al
A’raf: 201)
11. Terlepas dari tipu daya musuh
Orang bertaqwa juga lepas daripada tipu daya musuh lahir
sama ada orang kafir mahupun orang munafik. Firman Allah: “Jika kamu
bersabar dan bertaqwa, nescaya tipu daya mereka sedikit pun tidak mendatangkan
kemudharatan kepadamu. Sesungguhnya Allah mengetahui segala apa yang mereka
kerjakan.” (Ali Imran: 120)
12. Terhindar dari Neraka
Orang bertaqwa terhindar daripada Neraka. Ertinya tentulah
dia masuk Syurga sebab di Akhirat tidak ada tiga tempat. Kalau terlepas
daripada Neraka, bermakna ke Syurgalah dia. Firman Allah Taala: “Akan tetapi
orang yang bertaqwa kepada Tuhannya, bagi mereka Syurga yang mengalir di
dalamnya sungai-sungai, sedang mereka kekal di dalamnya.” (Ali Imran: 198)
Firman Allah lagi: “Sesungguhnya orang yang bertaqwa itu berada dalam Syurga
dan (di dalamnya mengalir) mata air. (Dikatakan kepada mereka): ‘Masuklah ke
dalamnya dengan sejahtera lagi aman’.” (Al Hijr: 45-46) dan laigi
FirmanNya, “Itulah Syurga yang akan Kami wariskan kepada hamba-hamba
Kami yang selalu bertaqwa.” (Maryam: 63)
Inilah di antara keuntungan-keuntungan atau bonus yang
diperolehi oleh orang yang bertaqwa. Kesemua itu tidak dapat dinilai dengan
mata wang dunia kerana terlalu tinggi nilainya. Ia didapatkan hasil daripada
membersihkan hati, mujahadah bersungguh-sungguh membuang sifat-sifat mazmumah
dan menyuburkan sifat mahmudah serta mengamalkan syariat yang lahir dan batin.
Kalau di dunia ini kita berebut-rebut untuk dapatkan bonus yang tidak ada nilai
di sisi Allah itu, mengapa kita tidak rebut bonus taqwa yang manfaatnya untuk
dunia dan Akhirat? Kalau tidak mahu bonus itu, orang bodoh namanya. Bodoh
Akhirat!
Sumber: http://www.usahataqwa.com
Tidak ada komentar:
Posting Komentar